Novel Syiah -> Perempuan Nan Bercinta - Faisal Tehrani. Pada 9 Julai 2012 Ustaz Aizam Masood akan sentuh racun
Syiah bawaan Faisal Tehrani dalam buku Perempuan Nan Bercinta di Masjid Nurul
Yaqin SS7 Kelana Jaya lepas Maghrib. InsyaAllah.
Pengarang terkenal Faisal Tehrani menggesa pihak berkuasa menangani novel barunya
Perempuan Nan Bercinta secara akademik dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan
kuasa untuk mengharamkannya.
"Pegawai agama perlu berada dalam ruang dia sendiri, saya buat kerja saya
sendiri.
"Kalau sesiapa nak jawab (buku saya), jawab dalam bentuk akademik, jangan
guna kuasa (mereka)," katanya tegas.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbang untuk mengharamkan
novel terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) yang dilancarkan
perdana menteri pada 3 Julai lalu.
Judul Buku : Perempuan Nan
Bercinta (2012)
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Institut Terjemahan
dan Buku Malaysia (ITBM)
Harga : RM 35.00
Soalan: Adakah Syiah Islam?
Jawapan: Syiah pada asalnya
Islam, tetapi mereka musyrik. Sebahagiannya musyrik dan sebahagian besarnya
murtad.
Soalan: Siapa Tuhan Syiah sebenar?
Jawapan: Baca blog saya di http://klinik-muallij.blogspot.com/2012/07/siapa-tuhan-syiah-yang-sebenar-bukti.html
Soalan: Jika Syiah bukan
Islam, kenapa Ahmadenajad boleh pergi haji?
Jawapan: Hendak
mengerjakan haji, semua orang boleh! Asalkan mengucap dua kalimah syahadah.
Orang lain itu tidak tahu apa di hati masing-masing. Salah satu tanda keimanan
puak agama Syiah ialah "Tidak beriman seseorang Syiah melainkan dengan
bertaqiyyah". Taqiyyah bermaksud berpura-pura, munafik dan berbohong
kepada ahlu sunnah.
Soalan: Adakah Syiah masuk neraka?
Jawapan: Ya kerana syirik
mereka.
Soalan: Adakah Syiah kafir?
Jawapan: Sebahagian besar
telah kafir kerana mereka bukan bertauhid pada Allah sahaja.
Soalan: Jadi siapa sebilangan kecil yang tuan tidak kafirkan lagi?
Jawapan: Ada beberapa kelompok
kecil iaitu:
1. Syiah Zaidiyyah di Yaman
yang belum mengikuti Houthi.
2. Kelompok yang masih
mengikuti ahlu sunnah wal jamaah dan hanya terikut-ikut kumpulan syiah atas
dasar cintakan ahlulbait atau politik.
3. Mereka yang merasakan diri
mereka ahlulbait tetapi dipinggirkan orang, lalu memilih beberapa jalan dari
Syiah agar mereka diberikan perhatian.
Soalan: Adakah semua ahlulbait bersama dengan Syiah?
Jawapan: Tidak, saya sendiri
tidak bersama Syiah, selain itu kita dapati beberapa ulama seperti Habib Umar
dari Yaman juga bukan Syiah. Kenapa tuan yang tiada kaitan dengan ahlul bait
pula yang tergerak hati hendak mengikuti Syiah?
Soalan: Di manakah sumber yang boleh saya dapati untuk mengetahui mengenai
Syiah?
Jawapan: Saya telah tulis di http://klinik-muallij.blogspot.com/search/label/Syiah
Membongkar Tembelang Syiah Faisal Tehrani dalam
karya "Perempuan Nan Bercinta" catatan Oleh Mufakir Islami Abu Haseef Husnizam Daim
Faisal Tehrani FT secara bacul berselindung di
sebalik karya sastera ala novel cinta untuk menyerang dan menghukum Ahli Sunnah
Wal-Jamaah. Dalam tulisannya di malaysiakini dia cuba membayangkan kononnya
Syiah tiada masalah untuk berdamping dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Kononnya
perbalahan antara Sunni dan Syiah itu hanyalah rekaan-rekaan pihak tertentu
sahaja. Tetapi anehnya perangai FT dalam novelnya ini saling tak tumpah seperti
sikap golongan Syiah Rafidhah yang menolak, menghina dan mempertikaikan para
sahabat r.a.h. Walaupun FT bijak bermain bahasa, tetapi itu tidak bermakna dia
‘cerdik’ menyimpan pekung Syiah-nya itu. Dalam banyak-banyak perkara yang
disentuh oleh FT dalam karyanya ini, perkara paling besar yang tak boleh
dibiarkan adalah kebiadapan FT terhadap para sahabat r.a.h. Dalam artikel
ringkas ini penulis akan bongkarkan niat busuk lagi kotor FT terhadap Ahli
Sunnah dan para sahabat r.a.h. yang memiliki kedudukan tinggi di sisi Allah SWT
dan Rasul-Nya SAW.
Mempertikaikan Sayyidina Abu Hurairah r.a.
dan hadith sahih
Sepertimana golongan Syiah Rafidhah yang lain,
antara para sahabat yang paling dibenci oleh mereka adalah Sayyidina Abu
Hurairah. Ini kerana Abu Hurairah adalah antara sahabat yang paling banyak
meriwayatkan hadith-hadith Rasulullah SAW. Bahkan telah berlaku ijmak di
kalangan ahli hadith bahawa Abu Hurairah adalah sahabat yang paling banyak
meriwayat dan menghafaz hadith-hadith Rasulullah SAW.
Dalam Sahih Muslim, Kitab Kelebihan Para Sahabat
r.a.h,, terdapat hadith yang menyatakan tentang kelebihan Abu Hurairah r.a.
Bahawa Abu Hurairah r.a berkata: “Adakah kamu mendustai bahawa Abu Hurairah
banyak meriwayatkan hadith daripada Rasulullah s.a.w? Demi Allah aku akan
membuktikannya. Sesungguhnya aku seorang yang miskin, aku menjadi khadam
Rasulullah SAW dengan hanya diberi makan sahaja. Ketika orang-orang Muhajirin
berdagang di pasar-pasar dan orang-orang Ansar sibuk mengembangkan harta benda
mereka. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang membentangkan pakaiannya beliau
tidak akan lupa apa yang beliau dengar dariku. Aku terus membentang pakaianku
sehingga Baginda selesai menyampaikan hadithnya. Kemudian aku mengumpulkannya
dan tidak lupa apa-apa yang aku dengar dari baginda”.
Berdasarkan kedudukan Abu Hurairah r.a. ini,
sungguh lancang sekali si Faisal Tehrani untuk memperlekehkan hadith-hadith
yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dengan menuduhnya sebagai israiliyyat. Di
mana dalil dan buktinya ia israiliyyat, seperti yang didakwa pada halaman 36.
Sebelumnya, pada halaman 33, FT membawakan hadith yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah dalam Sahih al-Bukhari. Hadith ini menyentuh tentang kejadian
Hawa/wanita daripada tulang rusuk Adam/lelaki yang dipertikaikan oleh golongan
Syiah.
FT berniat buruk dengan cuba menimbulkan
keraguan pada hadith yang diwayatkan oleh Abu Hurairah dalam Sahih al-Bukhari
tersebut. Hadith itu kononnya dikatakan satu diskriminasi terhadap kaum wanita.
Tambahan lagi, FT menuduh ianya bersesuaian dengan tradisi Kristian. Jelas,
nawaitu FT adalah untuk meruntuhkan kredibiliti para sahabat dan hadith-hadith
sahih yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari. Padahal, FT sendiri
dangkal dalam memahami kaedah syar'un man qablana syar'un lana ma lam yakun fi
syari'ina ma yukhalifuhu iaitu apa yang terkandung dalam ajaran agama lain
yang menetapi dan tidak menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah maka Islam
menerimanya.
Seseorang yang waras sebenarnya tidak perlu
untuk mempertikaikan hadith-hadith sebegini kerana ia tidak melibatkan
implikasi iman dan amalan, ia hanya satu perkhabaran supaya kita mengagumi
tanda-tanda kebesaran Allah SWT dalam penciptaan-Nya. Apa yang menghairankan FT
sibuk untuk mencari 'titik kepalsuan' mazhab Sunni tetapi lupa untuk
mengkritisi ajaran sesat Syiah yang dikaguminya sendiri. Mengapa tidak FT
mengkaji, kenapa penganut Syiah sanggup menyambut perayaan Nairuz pada 21 Mac
setiap tahun? Bukankah ia adalah perayaan memuja api penganut Majusi berbangsa
Parsi suatu ketika dahulu? Bagaimana kitab-kitab Syiah seperti Bihar al-Anwar
boleh meriwayatkan kononnya Imam Mahdi Syiah akan muncul pada hari raya Majusi?
Bukankah isu ini lebih berat kerana ia membabitkan implikasi iman dan amalan?
Adakah Syiah meniru Majusi atau Majusi yang meniru Syiah? Dengan otak FT yang
bijak itu, tidak logik jika FT tidak mampu untuk mengkaji ajaran kesayangannya
sendiri.
Jika FT mahu juga berhujjah dengan
perkara-perkara sebegini, sepatutnya FT menyelesaikan terlebih terdahulu
ayat-ayat al-Qur'an al-Karim yang pada zahirnya seolah-olah mendiskriminasikan
kaum wanita, itu pun jikalau menggunapakai kaedah berfikir singkat ala Faisal
Tehrani. Antaranya seperti dalam surah al-Nisa' ayat 34 tentang kelebihan
lelaki ke atas wanita, ayat 11 tentang bahagian lelaki yang lebih banyak
daripada wanita dalam faraid dan lain-lain. Sebenarnya tiada pun apa yang
didakwa diskriminasi jika dilihat menerusi kaca mata keadilan perbuatan Allah
SWT yang Maha Sempurna lagi Bijaksana. Tetapi jika dilihat menerusi persepsi
yang penuh dengan dendam kesumat untuk mencari-cari salah sumber Ahli Sunnah,
maka pelbagai persepsi negatif akan cuba dibangkitkan demi mempertikaikan
mazhab Sunni.
Isu diskriminasi wanita
Sebagai contoh, sikap FT ini terserlah pada
halaman 8. FT cuba menggambarkan kononnya terdapat hadith dalam kitab-kitab
Ahli Sunnah yang mendiskriminasikan kaum wanita dengan mengatakan kaum wanita
adalah golongan yang paling ramai menghuni neraka. Hadith-hadith sebegini juga
dianggap menjadi punca al-Qur'an dipandang seperti mentaliti primitif Eropah
pada abad pertengahan. Pandangan ini adalah perspektif skeptikal
yang sengaja diberikan oleh FT untuk memburuk-burukkan
hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah
Wal-Jamaah walhal hadith tersebut mempunyai konteks yang tertentu.
Sebelum menjelaskan maksud sebenar hadith
tersebut, perlu diingat keghairahan FT untuk mencari kelemahan Ahli Sunnah
Wal-Jamaah sebenarnya telah memakan dirinya sendiri kerana hadith berkenaan
majoriti ahli neraka adalah wanita pada hakikatnya bukan sahaja diriwayatkan di
dalam hadih-hadith Ahli Sunnah sebaliknya ia juga diriwayatkan di dalam
kitab-kitab Syiah malah matannya lebih panjang dan lebih terperinci. Sebagai
contoh apa yang dinukilkan oleh al-Majlisi di dalam kitabnya Bihar al-Anwar
daripada karangan al-Kulaini di dalam al-Furu’ mi al-Kafi berkenaan beberapa
riwayat yang menyebut tentang majoriti penghuni neraka adalah golongan wanita.
Pertama: Daripada Muhammad bin Yahya daripada
Ahmad bin Muhammad daripada Ibn Mahbub daripada Abdullah bin Ghalib daripada
Jabir al-Ja’fi daripada Abi Ja’far a.s, beliau berkata: Rasulullah SAW telah
keluar…kemudian bersabda: Wahai sekalian wanita, bersedekahlah, taatilah
suami-suami kamu, sesungguhnya kebanyakannya kamu di dalam neraka. Ketika mana
para wanita mendengar sedemikian, mereka menangis, kemudian bangun seorang wanita
daripada mereka lalu berkata: Wahai Rasulullah, di dalam neraka bersama orang
kafir? Demi Allah kami bukan orang kafir sehingga menjadi ahli neraka. Lalu
Rasulullah berkata kepadanya: Sesungguhnya kamu semua adalah kafir terhadap
hak-hak suami kamu".
Kedua: Daripada Muhammad bin Yahya daripada
Ahmad bin Muhammad daripada Ali bin al-Hakam daripada Ali bin Abi Hamzah
daripada Abi Basir, beliau berkata: Aku telah mendengar Abu Abdullah a.s.
berkata: Rasulullah SAW telah berkhutbah kepada wanita lalu bersabda: “Wahai
sekalian wanita, kamu bersedekahlah walaupun dengan perhiasan kamu, walaupun
dengan sebiji tamar, walaupun dengan secebis tamar, sesungguhnya kebanyakan
kamu adalah kayu api neraka…”
Sepatutnya FT juga perlu memasukkan
riwayat-riwayat Syiah ini untuk dikritik bersama riwayat-riwayat Ahli Sunnah.
FT perlu menjawab mengapa di dalam riwayat-riwayat Syiah juga turut
mendiskriminasi kaum wanita. Malah di sana terdapat riwayat-riwayat Syiah yang
lebih berat dalam mengenepikan kaum wanita, antaranya, hadith yang diriwayatkan
oleh al-Kulaini berbunyi: "Janganlah kamu memberi tempat kepada mereka
(wanita) di dalam kamar-kamar dan jangan kamu ajar mereka menulis, tetapi
ajarlah mereka bagaimana memintal benang dan surah al-Nur". Hadith ini
turut dinukilkan oleh penulis-penulis Syiah terkemudian seperti al-Hurr
al-'Amili dalam kitabnya Wasa'il al-Syiah yang meletakkan tajuk "Bab
kesunatan mengajar kaum wanita surah al-Nur dan tenunan, tanpa mengajar surah
Yusuf dan menulis" dan dalam bab lain dia meletakkannya di bawah tajuk
"Bab kemakruhan menyediakan kaum wanita di bilik-bilik, mengajar menulis
dan surah Yusuf…". Bagi para ulama Ahli Sunnah, hadith ini tidak sabit dan
matannya bercanggah dengan hadith-hadith yang sahih. Oleh itu, zahir hadith
yang mengatakan wanita tidak boleh dibenarkan untuk belajar menulis dan surah
Yusuf adalah bertentangan dengan galakan belajar yang diperintahkan dalam agama
Islam tanpa mengira jantina. Tetapi mengapa riwayat-riwayat sebegini wujud
dalam ajaran sesat Syiah seperti yang didewa-dewakan oleh FT?
Setelah kita membaca riwayat-riwayat Syiah di
atas, dapat difahami bahawa tujuan FT memaparkan hadith-hadith Ahli Sunnah
hanyalah untuk mengaburi mata pembaca bagi membayangkan seolah-olah disiplin
ilmu hadith yang ada di dalam mazhab Ahli Sunnah itu longgar sehingga terhadap
hadith-hadith yang dirasakan tidak logik. Namun, kewujudan riwayat-riwayat
Syiah yang lebih berat dalam hal mendiskriminasikan wanita tidak pula dijawab
atau diulas oleh FT. Terdapat dua kemungkinan, sama ada FT jahil tentang ajaran
Syiah kerana dia juga mengikut Syiah secara membuta tuli atau kerana dia
sengaja mahu menyembunyikan riwayat-riwayat Syiah yang berbau diskriminasi
terhadap kaum wanita tersebut.
Berbalik kepada hadith yang didakwa oleh Faisal
Tehrani mendiskriminasikan kaum wanita, ia hanyalah dakwaan kosong daripada
seorang yang berniat serong terhadap hadith-hadith Rasulullah SAW. Berkenaan
hadith di atas, ia termasuk dalam jenis hadith al-targhib wa
al-tarhib yang bertujuan untuk memberi galakan atau ancaman dalam sesuatu
amalan. Ini kerana golongan wanita yang dimaksudkan oleh Nabi SAW sebagai
penghuni neraka tersebut ialah merujuk kepada mereka yang melakukan
maksiat kepada Allah SWT seperti tidak bersyukur dan
menghargai pemberian suami (hadith Sahih al-Bukhari) dan berpakaian yang
mendedahkan aurat (hadith Sahih Muslim). Ini bermakna ia bukan sama
sekali merujuk kepada wanita itu secara fitrah
kejadiannya maka ia didiskriminasikan daripada memasuki
syurga. Ia seperti ungkapan Rasulullah SAW yang mengatakan majoriti penghuni
syurga adalah golongan miskin, ia bukan bermakna golongan kaya
didiskriminasikan tetapi kerana ramainya golongan kaya yang tidak menghiraukan
soal halal dan haram dalam mencari rezeki serta tidak menunaikan hak-hak harta
yang sepatutnya maka menyebabkan mereka tertahan daripada memasuki syurga.
Mempertikai kredibiliti Sayyidah ‘Aisyah r.a.
Dalam halaman 205 FT cuba untuk mempertikaikan
kredibiliti Sayyidatina ‘Aisyah r.a. bagi menolak hadith yang diriwayatkan
dalam Sahih al-Bukhari dengan menuduh kononnya 'Aisyah sendiri belum wujud
ketika kisah penurunan wahyu berlaku. Kenyataan sebegini jelas menunjukkan
kejahilan pengarang tentang kedudukan 'mursal sahabi' dalam disiplin ilmu
hadith iaitu hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat tanpa dia menyaksikan
sendiri atau mendengar sendiri daripada Rasulullah SAW tetapi memperolehinya
daripada sahabat lain. Hadith 'mursal sahabi' tetap dianggap sahih menurut Ahli
Sunnah Wal-Jamaah kerana yang meriwayatkannya adalah para sahabat kecuali
golongan yang meragukan dan mentohmah kejujuran para sahabat seperti Syiah.
Walau bagaimanapun, berkenaan hadith ini, Imam al-Nawawi mengatakan ia
didengari sendiri oleh 'Aisyah r.a.h berdasarkan beberapa lafaz yang terkandung
di dalamnya.
Menuduh hadith-hadith keutamaan para sahabat
hanyalah rekaan Sunni
Penyakit hati FT semakin terserlah pada halaman
179 apabila menuduh dengan biadap bahawa hadith-hadith keutamaan atau fadha'il
sahabat direka bagi menutup perseteruan mereka dengan Sayyidina Ali r.a. Ini
adalah suatu penghinaan kepada para sahabat Nabi SAW kerana cuba mengaitkan
kelebihan atau fadha'il sahabat seperti yang terkandung di dalam hadith-hadith
yang sahih itu hanyalah direkayasa demi kepentingan politik. Apakah FT tidak
pernah membaca ayat-ayat al-Qur'an tentang pujian Allah SWT kepada para sahabat
sehingga mereka diberikan gelaran radhiyallahu 'anhum?
Menghina Khulafa’ al-Rasyidin
Pada halaman 192, FT menghina pula para kibar
al-sahabah terdiri daripada Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina
Uthman dengan menuduh secara membuta tuli kononnya mereka telah melakukan
kesilapan dalam berijtihad sambil menyertakan bilangan kesalahannya sekali. Siapakah
FT atau Syiah untuk menilai kesilapan para sahabat dalam berijtihad? Sedangkan
para sahabat adalah ahli ijtihad dalam nas-nas yang tidak muktamad. Jikapun
berlaku kesalahan dalam berijtihad ia tidak menjadikan kedudukan mereka rendah
malah dikurniakan pahala oleh Allah SWT kerana ijtihad para sahabat telah pun
berlaku dan diakui oleh Rasulullah SAW pada zaman Baginda masih hidup dan
Baginda tidak mengingkarinya.
Pada halaman 279-280 FT cuba menimbulkan
persepsi seolah-olah para sahabat telah berpaling daripada Islam selepas
kewafatan Rasulullah SAW. Padahal hadith ini perlu dibaca dengan pelbagai
riwayat yang lain kerana terdapat lafaz-lafaz yang berbeza seperti usayhabi dan
ummati yang menurut para ulama merujuk kepada segelintir golongan yang telah
murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW. Malah kita sedia maklum bagaimana
Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. sendiri telah memerangi golongan yang murtad
selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Kalimah 'sahabat' yang digunakan dalam hadith
tersebut juga bukanlah merujuk kepada 'sahabat' dengan makna istilah tetapi
makna bahasa. Kerana itu apabila Sayyidina Umar al-Khattab ingin membunuh ketua
munafiqin, Abdullah bin Ubai bin Salul, ia tidak dibenarkan oleh Rasulullah SAW
kerana Baginda bimbang nanti orang akan berkata Muhammad telah membunuh
'sahabat'nya sendiri. Ini bermakna walaupun Nabi SAW menyebut ‘sahabat’ ia
bukan bermakna Baginda mengiktiraf semua yang menzahirkan keimanan mereka di
hadapannya, tetapi ada di kalangan mereka itu yang munafiq dan ada di kalangan
mereka yang murtad selepas kewafatan Baginda SAW dan mereka pada asasnya
bukanlah ‘sahabat’ Nabi SAW kecuali pada bahasanya sahaja.
Menghina mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah
(Asya’irah-Maturidiyyah)
Daripada kebiadapan FT memperlekeh dan menghina
para sahabat r.a.h., dia beralih pula mempertikaikan mazhab Ahli Sunnah
Wal-Jamaah yang menjadi pegangan rasmi umat Islam di Malaysia dan majoriti umat
Islam di dunia. Kedangkalan dan kecetekan pengetahuan FT makin terserlah ketika
cuba untuk meruntuhkan disiplin Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang telah establish.
Nampak sangat geran penyelidikan GCPM yang diperoleh dari UKM tidak
dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuat kajian perbandingan kecuali amat terhad
kepada rujukan Syiah semata-mata. Penilaian FT terhadap mazhab Ahli Sunnah
Wal-Jamaah amat ‘menjelekkan’ kerana FT sendiri tidak mengkaji Ahli Sunnah
secara komoprehensif menerusi rujukan-rujukan Ahli Sunnah yang muktabar.
Pada halaman 9, FT menyebut kita mesti berhenti
mengkaji Islam daripada mazhab yang 90 peratus tetapi kembali kepada mazhab
Syiah yang ‘asli’ yang mewakili 10 peratus umat Islam. Maknanya FT menganggap
Ahli Sunnah Wal-Jamaah ini sekadar mazhab palsu. Begitu juga pada halaman 83,
FT mengatakan mazhab Ahli Sunnah itu dasar dan asasnya bergantung kepada
kesia-siaan kerana kononnya mazhab Sunni tidak berjaya menyelesaikan
permasalahan wanita dan pelbagai tuntutan lain.
Pada halaman 170, FT dengan kajiannya yang
‘mendalam’ itu mengelirukan pembaca dengan mengatakan Ahli Sunnah hanya wujud
selepas era Muktazilah dan tidak mampu menandingi sejarah Syiah yang dikatakan
telah bermula sejak awal. FT sebenarnya jahil dan tidak memahami latar belakang
Ahli Sunnah Wal-Jamaah lalu mendakwa gelaran Ahli Sunnah tidak pernah wujud
pada zaman awal Islam. Kalaulah FT menggunakan sedikit akalnya, dia pasti akan
dapat membezakan antara istilah dan sejarah, justeru FT tidak akan membuat
kesimpulan yang terencat akal itu. FT bukan tak tahu, kewujudan ‘istilah’ tidak
semestinya seiring dengan sejarah yang menggambarkan kewujudan ‘istilah’ itu.
Misalnya, apabila disebut “Malaysia” ia adalah satu istilah bagi merujuk kepada
negara kita, tetapi ia tidak boleh menggambarkan kewujudan sejarah Tanah Melayu
yang lebih awal daripada istilah Malaysia itu sendiri.
Begitu juga istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, ia
hanya satu istilah untuk merujuk kepada manhaj Islam yang sebenar sebagaimana
yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jika tidak kerana wujudnya golongan ahli
bid’ah dan sesat seperti Syiah, sudah tentu tidak perlu wujud istilah tertentu
untuk merujuk kepada Islam yang asli. Mungkin cukup sekadar disebut Islam
semata-mata sebagaimana yang dinaskan di dalam al-Qur’an dan hadith. Namun
apabila wujudnya golongan yang berpecah keluar daripada gagasan Islam yang
sebenar, maka wujudlah istilah untuk membezakan antara Islam yang haq dan Islam
yang batil seperti Syiah.
Bertambah-tambah dangkal lagi, apabila FT
mengatakan istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah hanya timbul selepas daripada
kemunculan dua imam besar Sunni iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu
Mansur al-Maturidi. Buat makluman FT dan pengkaji Syiah tegar, istilah Ahli
Sunnah Wal-Jamaah buat pertama kali telah digunakan oleh Ibn Abbas, seorang
sahabat besar yang juga merupakan sepupu Nabi SAW yang wafat pada tahun 68 hijriyah.
(Lihat Tafsir Ibn Kathir, tafsiran ayat 106 surah Ali Imran) Walau bagaimanapun
apabila kita merujuk kepada hadith-hadith Rasulullah SAW begitu banyak sekali
ungkapan Baginda supaya berpegang kepada sunnah dan jamaah. Justeru, andaian FT
itu sekadar bertujuan untuk mentohmah kedua-dua imam besar Sunni yang menjadi
pengasas kepada mazhab Asya’irah dan Maturidiyyah seolah-olah kedua-dua mereka
inilah pembuat bid’ah yang merekayasa istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Betapa
dustanya tangan FT menulis seperti itu!
Sebagai ahli akademik, sepatutnya apa yang
dikaji oleh FT untuk menilai Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur
al-Maturidi adalah pada manhaj yang dibawa menerusi karya-karya mereka. Barulah
boleh disimpulkan maksud di sebalik istilah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi
popular pada zaman mereka. Apakah mereka membina mazhab baru atau ia merupakan
suatu kesinambungan daripada golongan salafussoleh sebelum mereka. Apa yang
sepatutnya adalah FT mengkaji sejauhmana kesinambungan antara ajaran Syiah
dengan Ahlul Bayt? Hakikatnya, tiada langsung kesinambungan antara Syiah dengan
imam-imam Ahlul Bayt. Apakah hujjah Syiah untuk mengatakan kepercayaan mereka
hari ini benar-benar berdasarkan Ahlul Bayt?
Al-Kulaini dalam al-Kafi menukilkan dari Muhammad
bin al-Hasan bahawa, “Dahulunya para masyayikh mereka meriwayatkan dari Ja’far
dan Abi Abdillah, ketika itu taqiyyah amat bersangatan lalu mereka
menyembunyikan kitab-kitab mereka dan tidak meriwayatkan daripada mereka, lalu
apabila mereka meninggal dunia, kitab-kitab mereka sampai kepada kita, lalu
(Muhammad bin al-Hasan) berkata: Riwayatkanlah ia, sesungguhnya ia benar”.
(al-Kafi 1/53) Bukankah hadith Syiah ini pelik, boleh meriwayatkan daripada
Ahlul Bayt tanpa perlu kepada sanad yang sahih dan benar-benar sampai kepada
Ahlul Bayt. Oleh sebab itulah, ketika penulis berdialog dengan Syiah Melayu
jadian, Kamilzuhairi di Bagan Serai, Kamil mengatakan Syiah tidak memiliki
kitab sahih seperti Ahli Sunnah. Hairan sungguh, bagaimana mereka boleh mendakwa
berada di atas kebenaran sedangkan tidak memiliki sanad yang sahih daripada
Ahlul Bayt? Adakah benar mereka itu syiah (pengikut) Ahlul Bayt atau sebenarnya
syiah kepada pendusta dan pembohong agama, Abdullah bin Saba’?
Pada halaman 338-339, FT terus membakar sentimen
anti Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan menuduh kononnya Ahli Sunnah hanyalah sebuah
pakatan yang rapuh. Keempat-empat mazhab dalam Ahli Sunnah dituduh FT sebagai
saling bercakaran antara satu dengan lain hasil daripada pakatan fiqh yang
longgar dan saling bertabrakan. Istilah “pakatan fiqh” sudah cukup menunjukkan
FT tidak punya gambaran yang tepat berkenaan mazhab empat. FT mungkin menyangka
keempat-empat mazhab itu terdiri daripada kumpulan yang memiliki ideologi
berlainan lalu berpakat menjadi satu pakatan persis pakatan politik. Padahal
keempat-empat mazhab bahkan lebih dari itu (jika ditambah dengan mazhab salaf
yang lain termasuk Imam Ja’far al-Sadiq) hanyalah menifestasi daripada
kepelbagaian pandangan dalam mereka memahami nas-nas yang tidak muktamad. Dalam
konteks masa kini, kepelbagaian mazhab fiqh itu tidak pernah menjadi bebanan
kepada umat Sunni malahan ia menjadi khazanah ilmu Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang
begitu kaya dan tidak ternilai terutamanya dalam mengeluarkan fatwa berkenaan
isu-isu semasa sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Hakikatnya banyak lagi yang perlu dipelajari
oleh FT tentang perkembangan mazhab Ahli Sunnah. Namun begitu ada baiknya FT
membuka mindanya dengan mengkaji sejarah Syiah sendiri yang penuh dengan
perpecahan dalam masalah prinsip seperti yang terkandung dalam buku Firaq
al-Syiah karangan ulama Syiah terawal al-Nawbakhti. Di situ mungkin FT akan
terkejut bahawa Syiah bukan sahaja berselisih dalam masalah fiqh bahkan ada
pecahan Syiah yang mengatakan Ali itu adalah tuhan!!!
Berdasarkan kajian cetek
FT ini, dia kemudiannya membuat kesimpulan pada halaman 341 supaya penganut
Islam meninggalkan Ahli Sunnah dan menggantikannya dengan ajaran sesat Syiah.
Tidak dapat dipastikan apakah ini suatu bentuk HASUTAN terhadap pihak yang bertanggungjawab
menjunjung dan memelihara agama Islam di negara ini termasuk Raja-Raja Melayu,
Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam. Jika ia benar, dipohon supaya
tindakan dikenakan kepada penghasut ini. Secara akademik, perbezaan yang
berlaku antara mazhab, tidak perlu sehingga membuang mazhab yang lain dan
menggantikannya dengan yang baru. Ia seperti perbezaan empat mazhab Sunni yang
saling bermaaf-maafan dalam perkara yang diperselisihi dan tidak saling dakwah
mendakwah antara satu dengan lain. Tetapi niat Faisal Tehrani jelas, untuk
menjatuhkan Sunni dan menggantikannya dengan Syiah! Inilah cita-cita puak Syiah
dan buktinya jelas kelihatan di Iran, Iraq, Bahrain, Yaman, Syria, Lubnan,
Mesir dan lain-lain. Kesimpulannya, benarlah telahan penulis, Syiah adalah satu
ajaran yang hanya akan tertegak di atas keruntuhan Sunni! Pekung Syiah
benar-benar terbarai daripada otak pemikiran Mohd Faizal Musa dalam bukunya
ini. Semoga pihak berkuasa sedar dan tidak terus tertidur dibuai mimpi…
*********************************************************************************
Faisal harap jaminan PM Perempuan Nan Bercinta tidak diharam
JAMILAH HAMZAH
7 Julai 2012
SHAH ALAM - Penulis terkenal Faisal Tehrani, yang menyertai Persatuan Penulis Kaum India Malaysia (Kavyan) sebagai Ahli Kehormat semalam, mengharapkan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar novel terbarunya,Perempuan Nan Bercintatidak diharamkan oleh pihak berkuasa.
Novel yang dilancarkan Perdana Menteri Selasa lalu kini berdepan risiko pengharaman apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan sedang membincangkan kewajaran mengambil tindakan itu atas alasan dikaitkan dengan fahaman Syiah.
Penolong Pengarah (Penyelidikan I) Bahagian Perancangan dan Penyelidikan (Cawangan Akidah) Jakim, Mohd Aizam Masod mengakui Perempuan Nan Bercinta sedang diteliti dengan mendalam.
Ketika ditemui di sini semalan, Faisal juga berkata, beliau berasa hairan dan tertanya-tanya ekoran ada ura-ura yang mengatakan Jakim sedang merancang untuk mengharamkan karya terbarunya itu.
"Perdana Menteri sendiri telah lakukan banyak usaha untuk tarik perhatian masyarakat pengarang khususnya sasterawan Melayu dengan curahkan duit yang banyak supaya pengarang-pengarang kita lebih luas tasawuf mereka.
"Najib malah merujuk kepada visi Syed Jamaluddil al-Afghani, seorang reformis bermazhab Syiah yang diterima baik, sebagai tanda aras," katanya ketika ditemui pada Program Hari Ilmu Negeri Selangor 2012 di sini.
Menurutnya lagi, karya terbarunya itu adalah satu geran untuknya sebagai ahli akademik membuat penyelidikan mengenai kewujudan Syiah di alam Melayu dan perkara tersebut tidak perlu menjadi satu ketakutan kepada masyarakat.
"Jadi ketakutan kita kepada perkara-perkara ini (kewujudan Syiah) haruslah dibuang kerana saya duduk dalam ruang sebagai ahli akademik.
"Jadi ruang ahli akademik dan keagamaan jangan sampai berseberangan walaupun ia berhubungan, jadi kami da tugas kami dan ahli agama ada tugas mereka," kata Faisal.
Faisal juga meminta ruang untuk dirinya sebagai seorang ahli akademik menjalankan tanggungjawab dan peranannya dengan baik tanpa ada sebarang provokasi serta berharap dengan jaminan Perdana Menteri karya-karyanya tidak mengalami masalah lagi.
"Saya akan terus menulis dan meneruskan kajian serta akademik seperti biasa," katanya.
Mengulas lanjut, Faisal berkata, beliau menyertai Kavyan semalam dengan matlamat mahu memecahkan benteng perkauman dalam dunia sastera di Malaysia.
Faisal berkata, sastera Melayu bukannya dikhususkan kepada orang Melayu sahaja tetapi terbuka kepada semua kaum tanpa mengira bangsa.
"Saya sertai Kavyan antaranya untuk pecahkan benteng tersebut untuk lihat karya Kavyan juga satu wadah untuk masyarakat dan penulis," katanya.
Sementera itu, Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata, Kavyan mengalu-alukan kemasukan Faisal sebagai Ahli Kehormat Kavyan dan beliau ahli “Bukan Kaum India” pertama sejak keahlian dibuka kepada umum pada November 2011.
"Segala usaha dan perjuangan Kavyan demi penulis dan penulisan (tanpa mengira kaum dan agama) tidak ada apa-apa kaitan dengan mana-mana parti politik.
"Dalam isu novel Perempuan Nan Bercinta mungkin diharamkan, Kavyan tidak mahu masuk campur dalam urusan Jakim," katanya.
Namun Uthaya turut berkata, Kavyan bercadang menghantar surat kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan pengesahan memandangkan Jakim mengesahkan sekarang dalam proses tindakan pengharaman novel itu.